Kembar sama-sama dapat PhD

 

ARAU: Pasangan kembar penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Alam Sekitar mencuri tumpuan pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada sidang pertama hari ini.

Dr Oon Yoong Ling bersama kembarnya Dr Oon Yoong Sin masing-masing berusia 30 tahun bersyukur kerana mampu menamatkan pengajian mengikut tempoh yang ditetapkan.

Yoong Ling berkata, beliau bersama adiknya berhempas pulas selama lima tahun di dalam pengkhususan pengkajian tenaga berasaskan daripada air kumbahan.

“Kami berdua memang sejak kecil melakukan semua aktiviti bersama malah turut berkongsi hobi iaitu ghairah untuk meneroka setiap perkara atau benda baharu dalam hidup.

“Tetapi hari ini saya lebih gembira kerana kami mampu menggembirakan kedua ibu bapa dengan menerima anugerah ijazah kedoktoran di dalam bidang kejuruteraan,” katanya ketika ditemui selepas selesai menerima anugerah terbabit.

Bagi Yoong Sin pula, dia lebih selesa untuk mengikut sahaja jejak langkah kakaknya dalam melakukan sesuatu pekerjaan kerana dia pasti kakaknya itu mahukan yang terbaik bagi mereka berdua.

“Memang sejak kecil kakak yang banyak memberi tunjuk ajar dalam pelajaran sehingga kami menyambung pengajian bersama di UniMAP.

“Malah dia juga tidak selesa jika saya tidak berada depan matanya kerana dia beritahu saya adalah teman suka dan dukanya walau di mana kami berada,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan mereka, pasangan kembar terbabit bercita-cita untuk menjadi penyelidik tenaga alam sekitar dan merancang untuk menyambung pengajian bagi bergelar seorang profesor di sebuah universiti awam di China.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, pada istiadat konvokesyen kali ini, seramai 3,647 graduan menerima sijil masing-masing membabitkan lapan sidang sehingga Selasa ini.

“Jumlah penerima pascasiswazah telah meningkat berbanding tahun lalu iaitu pada tahun ini seramai 261 orang penerima Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana.

“Ini sekali gus menjadikan keseluruhan siswazah peringkat pascasiswazah yang dihasilkan sejak Istiadat Konvokesyen Kali Pertama adalah seramai 1,600 orang,” katanya.

Beliau turut berbangga dengan kejayaan yang dikecapi graduan kerana pada usia yang muda, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mendisiplinkan diri dengan persekitaran universiti.

sumber: BH

Be the first to comment on "Kembar sama-sama dapat PhD"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*